Kabut nipis pagi Hulu Langat masih berlegar rendah di atas puncak Menara Jam Akademi Sains Seri Bangi (ASSB).
Bangunan empat tingkat berkonsepkan Neo-Klasik dengan dinding off-white dan tiang-tiang granit kelabu gelap itu tersergam angkuh di sebalik pagar besi bewarna Matte Black setinggi 10 kaki.
Di pentas utama dewan yang berhawa dingin, Tengku Muhammad Rayyan—Ketua Pengawas Form 5 merangkap Ketua Pelajar ASSB—berdiri tegak mendada.
Tubuhnya yang tinggi lampai 183 cm dibalut Blazer Biru Gelap (Midnight Navy) bersulam lencana emas ASSB, melekap kemas pada dadanya yang tegap.
Kulit wajahnya yang bersih bertona cerah, dipadankan dengan potongan rambut Ivy League side-parting yang dioles minyak rambut berkilat, kemas tanpa sehelai pun terkeluar.
Hidungnya mancung, dan cermin mata bingkai nipis berwarna emas yang terletak di pangkal hidungnya menambah aura intelektual elit.
Namun, tatapan matanya di sebalik kanta kaca itu dingin dan angkuh—jenis anak VIP yang memandang rendah pada orang lain melalui senyuman nipis yang diatur rapi.
Bagi cikgu-cikgu, dia ialah Tengku Rayyan yang berkaliber.
Namun bagi budak-budak sekolah, sosok yang dipanggil "Tengku" atau "K.P." itu ialah pemegang Blazer Biru—simbol kuasa tertinggi murid yang menjadi impian seluruh warga sekolah.
Di bawah pentas, di antara ratusan kemeja putih murid biasa, barisan pengawas berdiri teratur dalam seragam rasmi berwarna biru muda (sky blue). Namun, di dalam barisan yang nampak kemas berbutang penuh itu, lima sosok calon utama Pilihan Raya Ketua Pengawas jelas membina garis perang masing-masing.
Di barisan hadapan sebelah kanan pentas, Raja Nazri berdiri mendada dengan raut wajah yang tenang dan memukau.
Berstruktur garis rahang (jawline) yang tegas dengan kulit cerah yang terurus, dia memiliki potongan rambut Classic Executive Taper Side-Part yang dipotong rapi—kemas tersisir licin tanpa sehelai pun anak rambut mengganggu dahi.
Tubuhnya tinggi lampai dan tegap kemas—bukan jenis otot sasa padat seperti Fikri, tetapi binaan fizikal seorang atlet tenis atau renang yang mengutamakan postur badan yang lurus dan simetri. Kemeja biru mudanya dipakai sangat kemas, melekap elok pada bahunya, dipadankan dengan tali leher yang diikat tepat pada lekuk halkumnya.
Dipandu karisma semula jadi serta budi bahasa yang amat tersusun, Nazri memiliki aura diplomatik yang membuatkan sesiapa sahaja mudah terpesona.
Di mata barisan pentadbir dan guru-guru, murid tingkatan empat ini dilihat sebagai calon 'paling selamat' dan berwibawa untuk meneruskan legasi kepimpinan pelajar menggantikan tempat Rayyan.
Lagipun, sudah menjadi open secret di ASSB bahawa Nazri ialah calon yang mendapat restu penuh serta sokongan padu daripada Tengku Rayyan sendiri—seorang 'anak emas' yang disiapkan khas untuk memastikan kuasa takhta Blazer Biru kekal dalam lingkungan kem elit mereka.
Di barisan sebelah kiri pula, Fikri berdiri tegap.
Kemeja biru mudanya nampak sendat menahan saiz bahunya yang sasa selaku Kapten Ragbi sekolah. Disebabkan susut fizikalnya yang tegap dan mudah berpeluh, lengan bajunya sekadar digulung nipis satu lipatan di pergelangan tangan—menyerlahkan aura dominan seorang pemimpin blok sukan dan asrama lelaki.
Tidak jauh dari laluan masuk dewan, Zack pula bersandar santai. Kapten bola sepak itu menyarungkan kemeja biru muda yang di-tailor khas mengikut bentuk badan.
Seperti Fikri, dia turut melipat sedikit hujung lengan bajunya—acah-acah santai sambil membiarkan helaian rambut two-block jatuh menyentuh dahi.
Di mata warga ASSB, Zack ialah pencabar terdekat dan paling berisiko buat Fikri.
Dua sukan paling popular di sekolah itu menjadi medan pembuktian 'anak jantan'—pilihan tempat di mana pelajar lelaki membina ego, identiti, dan pengaruh.
Siapa yang menguasai padang, dialah yang menguasai sokongan blok lelaki. Dengan senyuman tipis yang bersahaja, Zack tahu cengkaman undinya daripada kelab-kelab atlet dan persatuan sudah cukup kuat untuk menggugat takhta yang dicita-citakan Fikri.
Berbeza pula dengan Bella.
Berdiri anggun dalam Baju Kurung sky blue yang tersangat kemas dan terletak—seragam warna yang sama dengan kemeja pengawas lelaki. Tudung sarung birunya dibentuk sharp V-shape di atas dahi, kemas terikat tanpa sehelai benang pun terkeluar.
Sebagai AJK Pengawas merangkap Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), Bella bukan sekadar hadir sebagai hiasan.
Dia adalah manifestasi keberanian pelajar perempuan yang nekad mencabar status quo—memecahkan stigma tradisi bahawa kerusi Ketua Pelajar ASSB hanya selayaknya diisi oleh lelaki.
Jika dia menang, dia bakal membuktikan keupayaan terbaiknya. Dan jika dia kecundang di tangan calon lelaki, biarlah ia berlaku selepas satu pertarungan sengit yang adil, bukannya menyerah kalah tanpa bertanding.
Dengan pandangan mata badamnya yang jernih dan cerdas, Bella bukan sahaja memegang cengkaman undi blok akademik dan pelajar perempuan, malah menjadi calon yang paling direstui oleh barisan guru.
Dan di sudut paling belakang dewan, tenggelam di sebalik bayang-bayang tiang granit, Danish berdiri sendirian.
Kemeja biru mudanya dipakai sempurna—berbutang kemas hingga ke pergelangan tangan mengikut etika seragam rasmi sekolah. Namun, pergelangan kemeja yang tersusun rapi itu sedikit tersingkap, mempamerkan jam tangan perak nipis yang melilit tangannya. Kedua-dua tangannya terbenam santai di dalam poket seluar.
Wajahnya tenang dengan aura bersahaja, langsung tidak nampak seperti sedang berkempen.
Danish sedar hakikatnya—tanpa cengkaman pengaruh seperti kem elit Raja Nazri, empayar sukan Fikri, mahupun populariti Zack, peluangnya agak tipis di atas kertas.
Bagi Danish, jika menang itu satu rezeki, dan jika kalah itu sudah takdirnya.
Namun, sikapnya yang pragmatik dan terlepas daripada tekanan ego inilah yang membuatkan pergerakan politiknya paling tenang, sukar dibaca, dan berbahaya.
Fikri dan Zack di seberang dewan cuma saling melempar renungan tajam tanpa suara—dua paksi kuasa yang tahu pertembungan undi untuk merampas Blazer Biru itu tak lama lagi akan meletup.
Sementara itu, jauh dari gema mikrofon di dewan rasmi, suasana di belakang Blok C begitu sunyi dan mencurigakan.
Di dalam Tandas Lelaki Tingkat 2—yang berbau hancing bercampur sisa asap vape yang masih tebal di udara—Aiman, budak Form 3 berkemeja putih biasa, tersandar rapat pada dinding jubin yang dingin.
Di hadapannya, dua sosok tubuh mengunci laluannya.
Yang menakutkan, kedua-duanya menyarungkan kemeja pengawas berwarna biru muda.
Namun, petak tanda nama di atas poket kiri mereka sengaja ditutup rapat dengan pelekat hitam tebal—satu taktik licik untuk menyembunyikan identiti tanpa perlu merosakkan seragam rasmi mereka.
"Mana duit cukai minggu ni, Aiman?" suara garau bercampur nada sinis meluncur dari bibir salah seorang daripada mereka.
"S-sumpah abang... saya... saya tak ada cash hari ni. Mak saya belum masuk duit lagi..." Halkum Aiman naik turun, nafasnya kian tercekik.
"Kau ingat kita orang ni buat kerja amal ke kat sini?"
Pengawas di sebelah kanan memajukan dada. Tapak tangannya yang kasar menepuk cermin muka di sebelah kepala Aiman—PRANG!—mencetuskan bunyi retakan kecil yang membuatkan bahu budak Form 3 itu terhenjut ketakutan.
Tanpa banyak cakap, pengawas seorang lagi terus menyeluk poket belakang seluar Aiman dan merampas dompet kulit milik budak itu. Dompet dibuka kasar, lalu beberapa keping wang kertas ditarik keluar—sekeping not RM50, dua keping RM20, dan sekeping RM10.
"Ada pun... RM100 terus. Acah tak ada duit pulak," sindir pengawas pertama sambil mengira kepingan not berkedut itu di bawah cahaya lampu kalimantang tandas yang berkelip.
"RM80 cukai minggu ni. Nah, RM20 ni baki kau buat makan. Budak-budak macam kau tak boleh pegang duit banyak-banyak... nanti membazir je," ucapnya dengan nada dingin bercampur senyuman sinis.
"Jangan sampai nama kau masuk senarai merah minggu depan," tambah rakannya sebelum kedua-duanya menyelinap keluar, hilang di sebalik tangga kecemasan Blok C.
Aiman yang terkelu menyambut dompetnya yang hampir jatuh. Jemarinya yang terketar-ketar merenung not RM20 di tangan—bersama satu perasaan celaru dan trauma yang amat sangat.
Pembuli jenis apa yang peras ugut, siap tinggalkan duit baki dan bercakap tentang 'membazir'?
Di asrama, mengadu kepada warden atau cikgu ialah dosa paling besar. Gelaran 'Kaki Report' sama matinya dengan membunuh kehidupan sendiri—hidup kau akan jadi neraka dunia, dipulaukan satu blok sampai tamat sekolah.
Kalau nak mengadu juga, cuma ada dua syarat: sama ada kena pastikan seluruh blok sepakat untuk bangkit melawan sekali—yang hampir mustahil untuk berlaku—atau kau memang dah bersedia untuk angkat kaki dan pindah sekolah esok harinya.
Aiman membetulkan kolar kemejanya yang renyuk sambil menahan getar. Dia tahu dia tak boleh bercakap kepada sesiapapun di ASSB. Pilihan yang dia ada cuma satu—menunggu masa yang selamat untuk kembali ke kelas, menarik keluar telefon yang disorok rapat di dasar begnya, lalu menghantar mesej terdesak kepada ibunya.
Satu mesej peribadi. Satu rahsia antara dia dan ibunya... tanpa dia sedar, tindakan terdesak itu bakal menjadi detik permulaan yang mengubah landskap politik gelap sekolah ini.
Dua sosok berkemeja biru muda itu kemudiannya menyelinap masuk semula ke dalam dewan perhimpunan ikut pintu belakang, sambil mencabut pelekat hitam yang menutupi nama mereka lalu merenyukkannya sebelum ianya disimpan dalam poket.
Mereka berdua tenggelam secara senyap di antara barisan ratusan pengawas lain seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
Di atas pentas, Tengku Rayyan berdiri tegap di belakang podium sebagai pengerusi majlis. Suaranya yang tenang, tegas, dan penuh autoriti bergema menerusi pembesar suara dewan, mengawal iklim perhimpunan pagi itu dengan sempurna.
Namun di bawah pentas, dalam diam dan rahsia, bidak-bidak catur telah mula digerakkan.
Satu demi satu langkah sulit disusun rapi—satu percaturan licik yang bukan sahaja bertujuan menaikkan calon pengganti, tetapi untuk memastikan Tengku Rayyan tewas dan tersungkur sebelum sempat dia menamatkan penggalnya.






Comments
Post a Comment